Marriage of Understanding (3)
3
|
M
|
uammar Gaddafi
merupakan ahli perniagaan muda yang sedang bergelut dengan krisis di syarikat
yang diterajuinya, Teluk Asiana. Setelah bekas ibu tirinya, Suzie mengkhianati
papanya, Datuk Yazid dan menyelewengkan sejumlah wang syarikat lalu lari bersama-sama
teman lelakinya, lelaki warga Australia, terus syarikat ini tenat. Papanya
jatuh sakit dan terpaksa mengambil ubat-ubatan dalam jangka masa yang panjang
dan amat menyesali perkahwinannya dengan isteri keduanya, Suzie. Isteri
pertamanya, Datin Ruby seakan-akan membalas dendam apabila enggan menghulurkan
walau sesen pun kepada suaminya dan sibuk menguruskan butik perkahwinan yang
diusahakan bersama teman rapatnya, seorang selebriti jelita 40-an yang bernama
Hanis Juliana.
Gaddafi terkapar-kapar seorang diri
untuk menyelamatkan syarikat. Dia tak ingin syarikat yang dibina dengan titik
peluh oleh arwah datuknya terkubur di tangan anak dan cucunya. Dia tahu khilaf
papanya yang terlalu mempercayai dan menyayangi Suzie akhirnya memakan diri.
Bukan sekadar memakan diri sendiri, bahkan memakan keluarga dan syarikat
sendiri.
Hutang menggunung di keliling
pinggang. Hiduplah Gaddafi dengan papanya dalam bayangan hutang dan sering
dikejar oleh pihak bank dan mahkamah. Dalam keadaan begini, Gaddafi tidak menyalahkan
mamanya. Mamanya itu terlalu banyak memendam perasaan. Bertahun-tahun hidup
dalam airmata. Terlalu lama menjeruk rasa sehingga terpaksa bergantung dengan
ubat-ubatan. Pernah beberapa kali wanita korporat itu cuba membunuh diri. Namun
syukur kepada Allah, hayatnya masih panjang. Pintu taubat buatnya masih lagi
terbuka luas.
Apa yang Gaddafi sesalkan, papanya
yang pernah mabuk dilamun cinta dengan bekas GRO yang menjadi perempuan
simpanannya yang bernama Suzie itu tidak pernah menghiraukan mamanya meskipun
pada ketika itu mamanya sedang koma selama 19 hari selepas meminum racun
rumpai. Mereka berkahwin di Narathiwat, Thailand dan tinggal di Gold Coast,
Australia tanpa mempedulikan keluarga dan syarikat.
Muammar Gaddafi telah berkahwin
dengan seorang doktor kerajaan bernama Dr. Rita Edora Muhammad Rottmayer,
seorang wanita cantik kacukan Melayu-Jerman dan dikurniakan dua cahaya mata,
anak perempuan yang bernama Daniella dan anak lelaki yang bernama Dayyan,
masing-masing berusia 10 dan 7 tahun. Perkahwinannya bersama Rita yang telah
bertahan selama 12 tahun ini pun bagai retak menanti belah. Isterinya itu
beberapa kali meminta cerai daripadanya kerana sudah tidak sefahaman.
Masalah rumahtangganya begitu
menyesakkannnya bersama masalah syarikat dan masalah ibunya yang memandang
ayahnya macam musuh. Itu belum lagi masalah bekas-bekas pekerja syarikat yang
ingin mengheret dia dan syarikatnya ke Mahkamah Buruh kerana pampasan ganti rugi yang belum
berbayar dan gaji yang tertunggak selama beberapa bulan. Tambah menyesakkan,
pekerja-pekerja syarikat mogok dan berpiket gara-gara gaji tertunggak dan
dipotong. Ramai pekerja yang terpaksa dibuang untuk menjimatkan kos. Gaddafi
mengambil alih posisi papanya sebagai CEO Teluk Asiana selepas papanya itu
terlantar akibat strok.
Setelah gagal memujuk mamanya untuk
turut campur tangan dalam krisis Teluk Asiana, Gaddafi hanya tinggal satu
pilihan sahaja. Menjual sebahagian daripada saham syarikat. Antara syarikat
besar yang berminat untuk membeli saham Teluk Asiana ialah Mutiara Selatan
Shipping & Forwarding (M) Berhad yang dipimpin oleh seorang lelaki alfa
bernama Datuk Benjamin Jericho Tan Sri Dato’ Azman Akhtar Al-Bakri atau Datuk
Ben Azman.
“Encik,” suara setiausahanya, Siti
Hajar mengembalikan Gaddafi ke alam realiti.
Wajah ayu Siti Hajar yang mengenakan
shawl Pashmina warna krim dipandang.
Wanita ini merupakan janda anak dua. Kedua-dua anaknya adalah anak lelaki dan
dia sudah lama ditinggalkan oleh suaminya, ketika sedang mengandungkan anak
keduanya. Anak keduanya pula menghidap autisme. Apakah Siti Hajar juga perlu
menerima nasib yang sama seperti pekerja-pekerja lain? Gaddafi tiada jawapan
yang pasti.
“Encik, encik okey ke?” Sekali lagi
suara Siti Hajar menerobos deria pendengarannya.
“Err, saya okey, Siti. Ada apa?”
Soal Gaddafi sambil meraup wajahnya. Sempat dia memuji kebesaran Ilahi ketika
meraup wajahnya yang runsing. Dia baru tersedar yang wanita bertubuh langsing
dan tinggi lampai itu berdiri di hadapan mejanya, di dalam bilik pejabatnya
yang agak berselerak. Entah bila wanita itu mengetuk pintu biliknya. Dia
sendiri tak sedar.
“Ada sepina dari Mahkamah Buruh.”
Khabar yang dibawa oleh Siti Hajar itu sekali lagi meranapkan perasaan Gaddafi.
Allah! Apa lagi musibah yang menunggunya?!
Surat sepina daripada tangan Siti
Hajar diambil perlahan-lahan. Wanita manis bertudung litup itu memahami raut
wajah keruh majikannya lalu meminta diri.
Gaddafi
mengeluh lagi.
Surat perceraian di atas mejanya
dijeling. Surat perceraian daripada Tetuan Ahmad Rifqi, peguam yang mewakili
isterinya, Dr. Rita Edora Muhammad Rottmayer. Inilah yang paling hendak dia
elakkan. Bercerai. Apalah nasib kedua-dua anaknya, Daniella dan Dayyan kelak.
“Err, encik.” Tiba-tiba wajah Siti
Hajar sekali lagi terpacul di muka pintu.
“Ya,
Siti. Apa lagi...” Sahut Gaddafi, lemah dan terluka.
“Mutiara
Selatan sudi nak beli share Teluk
Asiana dengan harga yang ditetapkan!”
Kata-kata
Siti Hajar itu membuatkan Gaddafi mendongak memandang setiausahanya.
Pandangannya galak, bercahaya dan hampir-hampir tidak percaya. Sejalur sinar
harapan terlihat jua akhirnya.
Hati
Gaddafi berbunga-bunga. Ternyata Datuk Ben Azman memang benar-benar ingin
membeli saham syarikatnya dengan harga yang ditetapkan tanpa sebarang
tawar-menawar. Mutiara Selatan satu-satunya syarikat yang sudi membeli saham
Teluk Asiana dengan harga yang telah ditetapkan. Walaupun sebahagian syarikat
ini akan jadi milik Datuk Ben Azman, namun dia terpaksa merelakannya demi masa
hadapan keluarga dan pekerja-pekerjanya. Lagipun di bawah pentadbiran Datuk Ben
Azman, dia yakin lelaki itu mampu memulihkan krisis syarikat. Mana tahu dia
boleh pam berbilion-bilion ringgit untuk menyelamatkan keadaan.
Gaddafi
mendukung anak bongsunya, Dayyan dan berpusing-pusing di halaman banglo mewah
tiga tingkat itu untuk menggambarkan betapa gembiranya dia dengan khabar yang
diterima sekitar 4 petang tadi. Pintu keretanya, Porsche Cayenne pun tak sempat
dikatup rapat.
Anak
perempuannya, Daniella yang sedang duduk menikmati minum petang bersama Mak
Som, orang gaji keluarganya memandang ayahnya dengan pelik.
“Mak
Som, mana mama? Mana Rita? Mana Aira? Mana semua orang?!” Gaddafi tak mampu
menahan dirinya daripada bertempik kegembiraannya.
“Rita
macam biasalah, Dafi. Kat hospital lagi. Datin masih kat butik. Aira pula...
entah. Kata keluar nak jumpa seseorang. Papa kat atas.” Beritahu Mak Som.
Gaddafi
tidak menunggu lama. Dia terus berlari masuk ke dalam rumah dan naik ke tingkat
atas. Bilik tidur utama yang menempatkan Datuk Yazid menjadi destinasinya.
Kelihatan jururawat yang bernama Kartini baru saja lepas menidurkan Datuk Yazid
selepas memberi ubat-ubatan.
“Shh...
Datuk baru tertidur, encik.” Kata Kartini ketika Gaddafi mengatur langkahnya
perlahan-lahan ke arah katil papanya dan duduk di atas birai katil. Tak mahu
mengganggu orang tua itu.
“Awak
boleh balik, Tini. Dah masanya awak balik, kan?” Gaddafi memandang Kartini.
Jururawat muda itu tersenyum. Jam sudah melewati 5 petang. Memang sudah
waktunya untuk balik pun.
“Shh...
shhh... papa, ni Dafi.” Bisik Gaddafi sambil membelai dahi ayahnya selepas
Kartini beredar.
“Papa,
Dafi ada berita baik untuk papa, untuk kita semua. Dafi pernah janji pada papa
yang semuanya akan kembali pulih seperti sebelumnya, kan? Hmm... InsyaAllah,
pa. Apa yang Dafi boleh katakan, everything’s
going back to normal. Inilah berkat kesungguhan dan kesabaran kita selama
ni. InsyaAllah, pa. InsyaAllah.
“Papa
nak tahu tak, Datuk Ben Azman, Pengarah Urusan Mutiara Selatan tu setuju nak
beli share kita tanpa sebarang
tawar-menawar pun, pa. Maksudnya, pa, dia setuju dengan harga yang kita
letakkan tu. Harga yang kita sama-sama persetujui. Tapi jauh di sudut hati
Dafi, Dafi agak terkilan. Dafi tak pasti apa akan jadi pada kita di masa akan
datang. Ya, kita masih lagi shareholder
dalam Teluk Asiana, tapi... kita tak tahu perancangan Datuk Ben Azman. Kita tak
tahu lagi. Dafi tak tahu visi Datuk Ben. Lepas ni, apa saja cadangan, kita kena
usulkan pada Datuk Ben Azman dan keputusan muktamad adalah di tangan dia. Bukan
macam dulu lagi, pa.
“Tapi
tak apa. Sekurang-kurangnya Teluk Asiana terselamat. Nasib pekerja-pekerja
terbela. Nasib kita, keluarga kita pun terbela.” Ungkap Gaddafi, lirih.
Deria
pendengaran Gaddafi menangkap bunyi deruman enjin kereta di halaman kereta. Dia
terus bangun dari birai katil dan menuju ke tingkap bilik, mengharapkan
isterinya yang pulang. Tetapi yang tersadai di halaman rumah bukannya kereta
Proton Perdana V6 isterinya. Tetapi kereta adiknya yang tidak berbumbung...
Aira
Qairina membrek keretanya, Mercedes Benz SLK 200 AMG yang tidak berbumbung dan
berwarna merah hati itu dengan deras di hadapan pintu utama banglo mewah tiga
tingkat itu. Tindakannya itu mengejutkan pembantu rumahnya, Kak Som dan dua
anak saudaranya, Daniella dan Dayyan. Aira keluar daripada keretanya. Dia
mengenakan cermin mata gelap yang agak besar.
“Aira,
kenapa bawak kereta macam tu? Bahaya!” Tegur Mak Som sambil menghampiri Aira.
“Tepilah!
Sibuk je la dia ni!” Aira menolak kasar bahu Mak Som.
“Kau
kenapa, Aira?! Balik-balik terus marah-marah! Kalau ada masalah, kau cakap dengan
abang!” Tegur Gaddafi sambil berpeluk tubuh di tepi tangga.
“Kalau
betul aku ada masalah, abang boleh tolong apa, hah?!” Tengking Aira dengan
tidak semena-mena.
Aira
Qairina merupakan adik bongsu Gaddafi dan anak kedua Datuk Yazid bersama Datin
Ruby. Dia merupakan graduan University of New South Wales, Australia dalam
jurusan Undang-Undang. Empat tahun dia tinggal di Australia dan menjadi
pengamal undang-undang di sana untuk merawat lukanya akibat pengkhianatan papa
mereka terhadap mama mereka. Namun menginjak tahun kelima dia di Australia, dia
dipanggil pulang oleh abangnya untuk membantunya dalam urusan pentadbiran
syarikat yang kian tenat. Merayu-rayu abangnya di dalam talian, menghancurkan
sekeping hati Aira.
“Macam
mana aku nak tolong kau kalau kau tak bagitahu apa masalah kau?!” Balas Gaddafi
dengan suara yang agak tinggi. Tercabar. “Lagipun aku ada benda nak bagitahu
kau. Tentang syarikat!”
Aira
memandang abangnya sambil menurunkan sedikit cermin mata gelapnya.
“Mutiara
Selatan sudi nak beli saham kita tanpa sebarang tawaran harga.”
Sangkanya
Aira akan teruja mendengar perkhabaran tersebut. Namun adiknya itu hanya
tersenyum sinis. Sedikit riak teruja pun tak kelihatan.
“Baguslah,
baguslah tu!” Sinis sekali kata-kata Aira.
“Apa
maksud kau?” Soal Gaddafi yang mula terasa panas dengan reaksi adiknya itu. Apa
masalah Si Aira ini sebenarnya?
“Ini!
Memanglah Si Ben Azman tu sanggup beli tanpa sebarang tawaran harga sebab kau
dah jual aku kat dia!” Tempik Aira seraya menujah envelope pada dada sasa abangnya. Wanita genit 26 tahun yang
berketinggian 5’ 3” atau 161 cm itu mula menangis teresak-esak.
Perlahan-lahan
Gaddafi mengutip envelope di kakinya
dan mengeluarkan isinya. Ketika itu jugalah dia mengucap panjang. Adiknya yang
masih belum bersuami, belum sah berkahwin, kini sedang mengandung. Aira sedang
hamil luar nikah!
“Puas
hati kau, kan?” Tempelak Aira sambil mengenakan cermin mata gelapnya semula.
Airmatanya menuruni pipi gebunya.
Gaddafi
masih diam tidak berkutik. Ya Allah... Inikah harga yang perlu dibayar? Apakah Datuk
Ben Azman benar-benar menganggap Aira sebagai sogokan pada malam tersebut?
Untuk memulihkan krisis syarikat, kesucian Aira harus dikorbankan. Tidak...
bukan itu maksudnya!
“Kenapa
kau geleng? Puas hati kau, kan?!” Aira membentak lagi. “Masa depan aku hancur!
Aku balik Malaysia cuma nak tolong kau dan papa bangunkan semula syarikat bodoh
ni. Tapi tengok apa kau dah buat pada aku!”
“Maafkan
aku, Aira. Aku tak tahu! Kalau aku tahu, aku takkan tinggalkan kau!” Itu saja
yang mampu dilafazkan oleh Gaddafi. Bukan Aira saja. Dia pun kecewa juga. Aira
satu-satunya adik perempuannya dan tanggungjawabnya terhadap adik perempuannya
terpikul di pundaknya selaku seorang abang. Tapi...
“Aku
benci kau! Aku benci kau!” Aira menangis teresak-esak sambil memukul-mukul dada
abangnya lalu terus lari naik ke tingkat atas sambil menangis semahu-mahunya.
Pintu berdentum dihempas kuat.
Gaddafi
merenung lama foto ultrasound di
tangannya. Jantungnya berdegup kencang. Dia sedang menatap gambar anak
saudaranya. Zuriat Datuk Ben Azman di dalam rahim Aira, adiknya.
Comments
Post a Comment